Wednesday, October 23, 2013

'Saya tanggung malu'

Kuala Lumpur: “Orang hanya pandai mengata, tuduh saya tak tahu jaga anak dan macam-macam lagi. Hakikatnya, saya dan suami sudah jalankan tanggungjawab kami dan anak saya bukan gadis liar yang boleh keluar rumah sesuka hati.
“Kalau perkara sama berlaku pada mereka (orang yang mengata), mungkin baru mereka tahu apa yang saya dan suami rasakan sekarang. Saya merayu, fahamilah situasi kami dan janganlah tuduh kami yang bukan-bukan.” 
Itu luahan hati seorang ibu mahu dikenali sebagai Rohani, 36, selepas rakaman video anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan ‘aksi mesra’ bersama teman lelaki, kini tersebar meluas di laman YouTube dan Facebook (FB). 

Rohani berkata, perhubungan anak perempuannya, dinamakan sebagai F dengan teman lelakinya yang juga berusia belasan tahun memang diketahuinya, namun dia tidak menyangka mereka akan bertindak sejauh itu.
“Saya memang tahu mereka berkawan rapat, tapi tak sangka pula sampai merakam video berpeluk dan bercium dan dimuat naik pula ke Internet,” katanya.

Rompak, kurung dan cabul mangsa

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki hanya menundukkan wajah tanda akur apabila dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dikenakan tiga sebatan selepas mengaku bersalah merompak, mengurung dan mencabul seorang wanita, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Savinder Singh, 32, dari Lorong Jeram, Kampung Cina, Taman Sri Manir, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan; Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul mangsa, Kam Siew Lian, yang ketika kejadian berusia 21 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Savinder mengaku bersalah bersama-sama dua rakannya melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai di hadapan Kedai Teong Lean Auto Spare Parts, Jalan Pulau Kambing, di sini, antara jam 1 pagi hingga 3 pagi, 1 Mei 2012.

Bagi kesalahan itu, dia dikenakan hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan.

Manakala Savinder turut mengaku bersalah bagi pertuduhan mengurung dan mencabul mangsa di sebuah rumah di Lorong Jeram, Kampung Cina, Taman Sri Manir, di sini, antara jam 1 pagi hingga 9.30 pagi, pada 1 Mei 2012.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Savinder dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan tiga tahun.

Bagaimanapun, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris mengarahkan kesemua hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Sebelum ini, dua lagi rakannya yang dituduh bersama-sama melakukan jenayah tersebut telah pun mengaku bersalah dan kini sedang menjalani hukuman di penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala Savinder diwakili peguam Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga yang memaklumkan dia dirompak tiga lelaki termasuk Savinder.

Selepas dirompak, mangsa dikurung di sebuah rumah sebelum dicabul Savinder dan dibebaskan tidak lama kemudian.

Susulan laporan dibuat, satu serbuan dilakukan dan ketika ditahan, Savinder turut positif dadah jenis Amphetamine dan hasil siasatan selanjutnya mendapati sebelum ini, Savinder pernah dikenakan sekatan mengikut Seksyen 4A (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 selama dua tahun bermula 24 Oktober 2011.

iPad Mini Generasi Pertama Kini Ditawarkan Pada Harga Bermula RM949 Di Malaysia

Selesai pengenalan iPad Mini 2, Apple telah pun mengemaskini halaman Apple Store Malaysia, dan dilihat iPad Mini generasi pertama kini dijual pada harga bermula RM949 – memperlihatkan potongan harga sehingga RM50 berbanding sebelum ini.

Potongan harga ini hanya diperlihatkan pada versi 16GB WiFi sahaja, sementara versi 32GB WiFi pula dijual pada harga bermula RM1279 (sebelumnya RM1299). Versi 64GB WiFi kekal pada harga RM1599.
Perkara sama juga pada versi 3G, dimana variasi 16GB dijual pada harga bermula RM1379 (sebelumnya RM1399), sementara 32GB dan 64GB kekal pada harga RM1699 dan RM1999.
Tarikh jualan iPad Mini 2 di Malaysia masih tidak diketahui lagi buat masa ini.

Gempar, Mayat remaja perempuan dalam beg pakaian

KLANG – Polis menemui mayat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak semalam, di tepi Jalan Kebun Nenas 1A/KS7, di sini, kira-kira 9 malam tadi.
Mayat mangsa ditemui dalam sebuah beg pakaian dipercayai dibuang pembunuhnya di lokasi berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata mayat mangsa ditemui selepas suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya oleh seorang lelaki, kira-kira 6.30 petang tadi.
Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 23 tahun itu membawa polis ke tempat mayat mangsa dibuang..
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka dan pendarahan di bahagian kepala dan tangan mangsa.
“Soal siasat mendapati mangsa dibunuh di rumah suspek di Kelana Jaya, lebih 12 jam, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau,” katanya ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Katanya, sebelum mayatnya ditemui, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira jam 11 pagi semalam.
Mangsa kemudiannya dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga jam 12 tengah malam.
Beliau berkata, ibu mangsa yang bimbangkan keselamatan mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.
Menurutnya, suspek bekerja sebagai operator mesin dan mangsa yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu adalah kenalan dan dikatakan mengenali antara satu sama lain melalui internet beberapa bulan lalu.
Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya untuk bedah siasat.
Menurutnya, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada mangsa dirogol suspek atau sebaliknya, menurut sumber HMetro.
“Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek esok (hari ini) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui motif sebenar pembunuhan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh,” katanya.

Saturday, October 12, 2013

Anggota Polis Cedera Parah, Balai Polis Diserang

SEGAMAT- Dua lelaki termasuk seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am Batalion Keenam, Bakri, Muar, cedera setelah diserang lima lelaki bersenjata parang di kawasan Balai Polis Labis di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Mohd Kamil Sukaimi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, anggota polis berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki kanan, dan anggota tubuh badan, manakala rakannya hanya mengalami cedera ringan.

“Kedua-dua mangsa bersama dua orang lagi termasuk isteri mangsa sebelum itu sedang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Labis-Segamat.

“Bagaimanapun ketika di pertengahan jalan iaitu kira-kira dua kilometer daripada Balai Polis Labis, kereta yang dinaiki mangsa telah ditahan oleh sekumpulan lelaki,” katanya ketika dihubungi di sini malam Sabtu.

Menurutnya anggota polis berkenaan yang keluar daripada kereta selepas itu telah ditetak dengan parang daripada belakang oleh salah seorang lelaki terbabit menyebabkan mangsa terpaksa menyelamatkan diri dan kembali masuk ke dalam kereta.
Katanya, melihat keadaan itu rakan mangsa bertindak memecut kenderaan ke arah balai polis, namun telah diekori oleh kumpulan lelaki tersebut dengan sebuah kereta.

“Rakan mangsa yang keluar untuk membuat laporan kemudian telah diserang di kawasan balai polis berkenaan sebelum anggota polis di balai polis berkenaan bertindak menahan mereka yang terlibat,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan lima lelaki berusi 30 hingga 40-an di tempat kejadaian dan merampas empat bilah parang yang digunakan untuk menyerang mangsa.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Anggota polis berkenan kini masih menerima rawatan di hospital berkenaan manakala rakannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar. -mStar